Thursday 22 December 2011

Surah al-Kahfi di hari Jumaat

Dengan nama Allah Helang mulakan post.
Hari ni hari Jumaat. Entry kali ini agak serius sikit. Sikit je.. tak banyak....
Kalau sebut malam Jumaat dan hari Jumaat, mesti siapa yang rajin baca Quran tak terlepas untuk baca surah Yaasin, kan? Macam dah jadi kebiasaan, malam Jumaat je, Yaasin. Yaasin je malam Jumaat. Tapi tahu tak bahawa ada satu surah lagi yang elok sangat dibaca pada malam Jumaat atau hari Jumaat. Malah ada satu hadis yang menguatkan lagi betapa pentingnya membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat.

Daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, baginda bersabda, “BARANGSIAPA MEMBACA SURAH AL-KAHF PADA HARI JUMAAT, NESCAYA DIRINYA TERPELIHARA HINGGA LAPAN HARI, DARIPADA SEGALA FITNAH YANG MELANDA, DAN JIKA KELUAR DAJJAL SEKALI PUN, DIA AKAN TERPELIHARA DARIPADANYA” [Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5: 355]

Jadi Helang ingin berkongsi sedikit ilmu yang tak seberapa ni dengan mengajak anda semua memahami isi-isi surah al-Kahfi ni supaya dapat dijadikan panduan menghadapi apa yang dikatakan fitnah Dajjal ni. Kalau lebih rajin, carilah rujukan-rujukan untuk menambah lagi pengetahuan  so that boleh nampak "the big picture" apa hikmahnya surah al-Kahfi ni sehingga boleh terpelihara dari fitnah Dajjal (dengan izin Allah). Helang pun masih lagi dalam proses mencari dan ingin memahami maksud tersirat di sebalik surah al-Kahfi ni sebab ilmu Allah ni terlalu luas, tak tercapai kesemuanya oleh manusia.

Kalau sesiapa yang rajin membaca tafsiran surah al-Kahfi, terdapat 4 buah kisah besar yang diceritakan dalam surah itu untuk menjadi tauladan orang-orang yang beriman :
a) Kisah Ashabul Kahfi
b) Kisah seorang kafir yang memiliki kebun dan temannya seorang mukmin
c) Kisah Nabi Musa a.s berguru dengan Nabi Khidir a.s
d) Kisah Zulqarnain

Maka bagaimana kisah-kisah ini boleh dirangkumkan menjadi satu sebab terlindungnya seorang mukmin itu daripada fitnah Dajjal?

Surah al-Kahfi ini sebenarnya menyediakan alat atau "tools" kepada orang-orang beriman seperti berikut :
1) Membetulkan Akidah
2) Membetulkan cara berfikir dan pandangan hidup
3) Membetulkan sistem nilai dengan pertimbangan kepercayaan

Perlu diingat, fitnah Dajjal muncul dalam keadaan kita tidak sedar dengan kemunculannya kecuali bagi orang-orang yang "sudah bangun dari tidur". Ia berlegar-legar dalam kehidupan seharian kita tanpa kita menyedarinya. Maka persoalan 4 kisah di atas seharusnya dapat membantu seorang mukmin membuat timbang tara terhadap persoalan hidupnya seperti :

a) Apakah kepercayaan kita apabila sesuatu yang mustahil berlaku ( seperti kisah Ashabul Kahfi)
b) Apakah harta yang kita miliki merupakan liabiliti, yakni menyebabkan kita riak dan takbur dan lupa bahawa kesemuanya dari Allah ( seperti dikisahkan dalam kisah seorang kafir yang memiliki kebun dan temannya seorang mukmin )
c) Apakah kita sudah berpuas hati dengan ilmu yang dimiliki untuk menolong kita menghadapi dunia akhir zaman ini atau banyak lagi yang perlu dipelajari ( seperti kisah Musa a.s dan Nabi Khidir a.s
d) Apakah kuasa yang dimiliki oleh kita atau orang-orang sekeliling kita merupakan aset atau liabiliti dalam menghadapi fitnah Dajjal ini? ( seperti yang diceritakan dalam kisah Zulqarnain).

Banyak lagi yang perlu difahami dan dirungkaikan melalui surah ini. Jadi Helang nak mengajak anda semua bersama-sama mengkaji surah ini dan memahami maksudnya. Boleh juga extend pada surah-surah yang lain, dan adalah lebih baik jika anda membaca al-Quran berserta maknanya sekali andainya kurang pengetahuan dalam bahasa Arab. Semoga sedikit perkongsian ini boleh memberi manfaat kepada anda semua. Insya-Allah.

Sumber Helang : http://saifulislam.com/
                          Buku " Memahami Keindahan Surah al Kahfi", Ustaz Hj. Zamri Zainuldin dan Ustaz Hj
                                     Mohd Wahid Abd Hanif

P/S : Pencarian Helang belum tamat.. masih ingin mengkaji dan mengkaji.... doakan semoga berjaya.


No comments: